soalan rumusan SPM 2018
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang persediaan-persediaan graduan
sebelum memasuki alam pekerjaan dan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk
mengurangkan masalah pengangguran. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120
patah perkataan.
Lambakan
graduan yang menyumbang peningkatan jumlah rakyat yang menganggur di negara
kita begitu membimbangkan, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang
untuk memastikan mereka dapat ditempatkan dalam sektor pekerjaan. Masalah ini dapat diatasi sekiranya graduan
membuat pelbagi persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan. Mereka perlu mempunyai kemahiran interaksi sosial, iaitu kemahiran
cara-cara berhubung dalam kelompok sosial seperti sanggup bekerjasama, semangat
setia kawan dan nilai-nilai kebersamaan yang lain. Kemahiran ini penting untuk membolehkan
graduan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang bakal dihadapi semasa
bekerja.
Selain itu, graduan perlu menguasai kemahiran komunikasi yang
berkesan. Kepetahan dan
kecekapan untuk berkomunikasi dapat menjadikan mereka berkarisma dan berwibawa
semasa ditemu duga. Penguasaan pelbagai jenis bahasa di samping bahasa
kebangsaan sepatutnya menjadi keutamaan para graduan. Oleh yang demikian, mereka dapat berinteraksi
dengan rakan sekerja dari luar negara dan berupaya untuk bersaing pada
peringkat global. Tidak hairanlah
graduan yang fasih bertutur dalam pelbagai bahasa mudah diambil bekerja oleh
syarikat swasta kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan graduan
yang lain. Mereka turut berpeluang untuk
bekerja di luar negara ataupun bekerja dengan syarikat antarabangsa yang
berpengkalan di negara ini.
Kajian mendapati bahawa graduan
yang beretika dan mempunyai nilai
spiritual yang baik biasanya mudah ditawarkan pekerjaan. Hal ini kerana reputasi yang baik sebagai
pelajar tanpa sebarang tekod salah laku akan memberikan imej positif kepada
bakal majikan. Memiliki penampilan diri yang menarik juga merupakan suatu
kelebihan yang dilihat dan dinilai oleh majikan sebelum seorang itu diambil
bekerja. Dengan memiliki kelebihan
tersebut, seseorang graduan dapat menarik minat majikan dan memberikan kesan
positif kepada kerjayanya. Seterusnya,
para graduan perlu menonjolkan diri
sebagai individu yang mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menghadapi
tekanan kerana alam pekerjaan lazimnya memberikan pelbagai jenis tekanan.
Berdasarkan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), setiap graduan mesti melengkapkan diri dengan elemen kepimpinan yang baik. Ciri-ciri kepimpinan ini hanya dapat dicapai melalui penyertaan
graduan dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan kerja berpasukan yang
memerlukan mereka berbincang, merancang, menilai dan membuat keputusan. Di samping itu, graduan seharusnya menguasai kemahiran berfikir secara
kirits dan analitis supaya mereka dapat menyumbangkan idea-idea
berkualiti yang berkait rapat dengan budaya kerja cemerlang. Jelaslah, untuk memastikan para graduan
berjaya memperoleh kerja yang diidamkan, mereka sepatutnya melakukan beberapa
persediaan dan mempunyai kemahiran-kemahiran yang penting, bukan sekadar
memiliki akademik yang tinggi semata-mata.
Dipetik dan diubah
suai daripada ‘Kemahiran Sebelum Bergelar Graduan’ oleh Noraziah Mohd Amin,
Dewan Siswa, Jun 2015
Penulisan Pendahuluan