Thursday, January 3, 2019

Penulisan Pendahuluan Rumusan SPM

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian  buat satu rumusan tentang persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan dan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah pengangguran.  Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Penulisan pendahuluan rumusan.
aspek pertama:

persediaan-persediaan :
persiapan-persiapan/usaha-usaha/tindakan-tindakan/langkah-langkah/keperluan-keperluan

aspek kedua:  di negara kita/di Malaysia

Pendahuluan:
1.    Petikan membincangkan persiapan-persiapan graduan sebelum memasuki alam perkerjaan di negara kita.    [2 markah]

2.    Petikan membincangkan  tindakan-tindakan  graduan sebelum memasuki alam perkerjaan di Malaysia.    [2 markah]


3.  Petikan membincangkan tindakan-tindakan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan dan kelebihan-kelebihan graduan yang menguasai lebih daripada satu bahasa.    [2 markah]                           

4. Rumusan membincangkan tindakan-tindakan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan dan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah pengangguran.    [2 markah]


5.    Petikan membincangkan persiapan-persiapan graduan sebelum memasuki alam perkerjaan.       [1 markah]


6    Petikan membincangkan persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam perkerjaan di negara kita.   [0 markah]

Wednesday, January 2, 2019

Latihan Rumusan SPM


soalan rumusan SPM 2018


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian  buat satu rumusan tentang persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan dan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah pengangguran.  Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Lambakan graduan yang menyumbang peningkatan jumlah rakyat yang menganggur di negara kita begitu membimbangkan, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang untuk memastikan mereka dapat ditempatkan dalam sektor pekerjaan.  Masalah ini dapat diatasi sekiranya graduan membuat pelbagi persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.  Mereka perlu mempunyai kemahiran interaksi sosial, iaitu kemahiran cara-cara berhubung dalam kelompok sosial seperti sanggup bekerjasama, semangat setia kawan dan nilai-nilai kebersamaan yang lain.  Kemahiran ini penting untuk membolehkan graduan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang bakal dihadapi semasa bekerja.

    Selain itu, graduan perlu menguasai kemahiran komunikasi yang berkesan.  Kepetahan dan kecekapan untuk berkomunikasi dapat menjadikan mereka berkarisma dan berwibawa semasa ditemu duga.  Penguasaan pelbagai jenis bahasa di samping bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi keutamaan para graduan.  Oleh yang demikian, mereka dapat berinteraksi dengan rakan sekerja dari luar negara dan berupaya untuk bersaing pada peringkat global.  Tidak hairanlah graduan yang fasih bertutur dalam pelbagai bahasa mudah diambil bekerja oleh syarikat swasta kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan graduan yang lain.  Mereka turut berpeluang untuk bekerja di luar negara ataupun bekerja dengan syarikat antarabangsa yang berpengkalan di negara ini.

                Kajian mendapati bahawa graduan yang beretika dan mempunyai nilai spiritual yang baik biasanya mudah ditawarkan pekerjaan.  Hal ini kerana reputasi yang baik sebagai pelajar tanpa sebarang tekod salah laku akan memberikan imej positif kepada bakal majikan.  Memiliki penampilan diri yang menarik juga merupakan suatu kelebihan yang dilihat dan dinilai oleh majikan sebelum seorang itu diambil bekerja.  Dengan memiliki kelebihan tersebut, seseorang graduan dapat menarik minat majikan dan memberikan kesan positif kepada kerjayanya.  Seterusnya, para graduan perlu menonjolkan diri sebagai individu yang mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menghadapi tekanan kerana alam pekerjaan lazimnya memberikan pelbagai jenis tekanan.

                Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), setiap graduan mesti melengkapkan diri dengan elemen kepimpinan yang baik.  Ciri-ciri kepimpinan ini  hanya dapat dicapai melalui penyertaan graduan dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan kerja berpasukan yang memerlukan mereka berbincang, merancang, menilai dan membuat keputusan.  Di samping itu, graduan seharusnya menguasai kemahiran berfikir secara kirits dan analitis supaya mereka dapat menyumbangkan idea-idea berkualiti yang berkait rapat dengan budaya kerja cemerlang.  Jelaslah, untuk memastikan para graduan berjaya memperoleh kerja yang diidamkan, mereka sepatutnya melakukan beberapa persediaan dan mempunyai kemahiran-kemahiran yang penting, bukan sekadar memiliki akademik yang tinggi semata-mata.

Dipetik dan diubah suai daripada ‘Kemahiran Sebelum Bergelar Graduan’ oleh Noraziah Mohd Amin, Dewan Siswa, Jun 2015


Penulisan Pendahuluan

Tuesday, December 25, 2018

 JAWAPAN 
LATIHAN PUISI TRADISIONAL BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU. ANTOLOGI SEJADAH RINDU


(i)    Perkara-perkara yang berlaku setelah istana bejaya disiapkan ialah semua tukang yang membina istana itu mati dan tidak ada sesiapa yang dapat meniru seni bina istana tersebut.  Kemudian istana tersebut dipersembahkan kepada baginda suami isteri.

(ii)   Pada pendapat saya, istana pada zaman dahulu dibina tersergam indah seperti yang digambarkan dalam seloka tersebut ialah sebagai lambang kemewahan atau kekayaan golongan istana pada masa itu.  selain itu untuk menunjukkan kehebatan dan kemahiran tukang atau arkitek pada masa itu yang berjaya membina istana yang tersergam indah.

(iii)  Antara nilai murni yang terdapat dalam seloka tersebut ialah nilai kesetiaan.  Contohnya Orang Besar Empat menjunjung titah perintah raja untuk membina sebuah istana yang indah, cantik dan unik.
        Nilai murni berikutnya ialah nilai bekerjasama.  Contohnya, Orang Besasr Empat, Pawang dan tukang istana yang pakar itu sanggup bekerjasama bekerja siang dan malam sehingga akhirnya berjaya menyiapkan istana raja lam tempoh tujuh bulan.


LATIHAN BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU - ANTOLOGI SEJADAH RINDU


Latihan Puisi Tradisional  

Baca seloka di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU (Za’ba)


Baginda menitahkan orang besar empat,
Membuat istana puri berkota;
Lalu dipanggil Pawang Raja.
Pawang mengerah orang bekerja,
Empat puluh empat tukang dan utas,
Siang malam tidak berhenti.

Tujuh bulan tujuh purnama,
Istana siap dengan alatnya;
Besar tersergam sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.

Tiga sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharaja lela,
Tiang tengah syukur menanti;
Galang-galangnya ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega.

Berbunga sawa mengelempai,
Bertakuk bersedelinggam,
Berjenang berbatu kawi,
Berselimpat ukir Jawa,
Lilit-melilit akar Cina;
Garam sebuku sisa jeragan,
Bunga kenanga dimakan ular,
Layang-layang di pintu Raja.

Istana siap tukang pun mati,
Tiada orang dapat meniru:
Dipersembahkan kepada baginda suami isteri.

Kalung Bunga Za'ba, 2008
Dewan Bahasa dan Pustaka
Antologi Sejadah Rindu
Kementerian Pendidikan Malaysia


(i)    Apakah perkara-perkara yang berlaku setelah istana berjaya disiapkan?                                                                                       [2 markah]

(ii)   Pada pendapat anda, mengapakah istana pada zaman dahulu dibina tersergam indah seperti yang digambarkan dalam seloka tersebut?    
Beri dua sebab                                                                            
                                                                        [3 markah]

(iii)    Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam seloka tersebut.                                                                                                   [4 markah]


CUBA BUAT LATIHAN
RUJUK JAWAPAN

Monday, December 24, 2018

SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU


 SELOKA – BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU (Za’ba)

A MAKSUD

RANGKAP 1
Baginda menitahkan orang besar empat,
Membuat istana puri berkota;
Lalu dipanggil Pawang Raja.
Pawang mengerah orang bekerja,
Empat puluh empat tukang dan utas,
Siang malam tidak berhenti.

Baginda sultan menitahkan orang besar berempat untuk membina istana sebagai mercu tanda kotanya. Oleh hal yang demikian, Pawang Raja telah mengerah rakyat untuk bekerja keras. Sebanyak empat puluh empat orang jurubina dan pandai tukang dan projek pembinaan itu dijalankan siang dan malam tanpa henti.

RANGKAP 2
Tujuh bulan tujuh purnama,
Istana siap dengan alatnya;
Besar tersergam sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.

Pembinaan istana baginda itu menelan masa tujuh bulan sehingga siapkan sempurna dengan perabot dan segala peralatan di dalamnya. Istana yang disiapkan itu tersergam indah dengan sembilan ruang utama yang memiliki sepuluh batang tiang penyokong. Di dalam istana itu, ada kain yang disusun dan diikat serong dengan puncanya tergantung dan memiliki kawasan anjung yang tinggi.

RANGKAP 3
Tiga sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharaja lela,
Tiang tengah syukur menanti;
Galang-galangnya ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega.

Di dalam istana itu, ada tiga sudut untuk kegunaan lapan orang menteri yang utama yang dihias dengan tiga batang tiang yang dinamakan maharaja lela. Di tengah-tengah istana itu, ada sebatang tiang besar yang kukuh yang bertanggam dengan ukiran corak ular yang garang. Kayu yang melintang pada atap istana pula bercorak seorang puteri yang menyembah dan sebatang kayu yang melengkung pada atap istana juga bercorak ukiran helang di sekelilingnya.


RANGKAP 4
Berbunga sawa mengelempai,
Bertakuk bersedelinggam,
Berjenang berbatu kawi,
Berselimpat ukir Jawa,
Lilit-melilit akar Cina;
Garam sebuku sisa jeragan,
Bunga kenanga dimakan ular,
Layang-layang di pintu Raja.

Bahagian tingkap istana raja dibina dengan seni yang istimewa, yakni berukir corak bunga dan ular sawa yang berbaring dengan lemah longlai. Di samping itu, jendela istana pula diperbuat daripada batu yang kukuh dan bertiang. Seni bina ini dipercantik dengan ukiran Jawa dan Cina. Selepas itu, garam ditaburkan di sekeliling istana yang baharu untuk membuang segala kekotoran dan anasir jahat yang cuba dibawa oleh pendatang asing atau nakhoda. Pada pintu istana yang besar itu, ukiran bunga kenanga amat jelas kelihatan bersama corak ular. Demikianlah keunikan istana raja yang siap dibina.


RANGKAP 5
Istana siap tukang pun mati,
Tiada orang dapat meniru:
Dipersembahkan kepada baginda suami isteri.

Setelah istana siap dibina, tukang bina istana pun meninggal dunia. Kesetiaan jurubina istana ini menyempurnakan pembinaan istana ini amat terserlah apabila tiada sesiapa yang dapat meniru teknik dan gaya pembinaan istana tersebut. Apabila istana siap dibina, pembesar yang bertanggungjawab dalam pembinaan itu mempersembahkan istana tersebut kepada baginda raja dan permaisuri.


Kalung Bunga Za'ba, 2008
Dewan Bahasa dan Pustaka


TEMA DAN PERSOALAN

Sindiran terhadap golongan raja yang mengutamakan kepentingan sendiri  untuk kemahsyuran peribadi sehingga sanggup mengorbankan nyawa orang lain. Hal ini dapat dibuktikan apabila tukang bina istana meninggal dunia selepas istana siap dibina dan memastikan tiada sesiapa yang mampu meniru pembinaan itu.

Contohnya: 
(R1)   Pawang mengerah orang bekerja.
                   Empat puluh empat tukang dan utas.
                   Siang malam tidak berhenti.

(R5)   Istana siap tukang pun mati.,
                   Tiada orang dapat meniru:

Persoalan
a.     Persoalan seni bina istana masyarakat Melayu tradisional.
(R3)   Galang-galangnya ular berang.
                   Kasau kecil puteri menyembah.
                   Kasau lentik helang berbega.

b.     Persoalan golongan raja yang mementingkan diri sendiri.
R5)    Istana siap tukang pun mati,
                    Tiada orang dapat meniru

c.     Persoalan kehalusan seni ukiran Melayu tradisional
(R4)   Lilit-melilit akar Cina
                   Garam sebuku sisa jeragan
                   Bunga kenanga dimakan ular
                   Layang-layang di pintu Raja

(d)   Kepentingan istana kepada raja.
(e)   Keunikan seni bina istana.
(f)   Kesetiaan pembesar kepada raja.
(g)   Kesempurnaan seni bina istana lama.

C      GAYA BAHASA

(a)    Repitisi
Buktinya,
empat puluh empat tukang dan utas

(b)    Imej alam atau imejan
Buktinya,
Berbunga sawa mengelempai,
Garam sebuku sisa jeragan
Bunga kenangan dimakan ular

(c)     Anafora
Buktinya,
Tiang panjang maharaja lela
Tiang tengah syukur menanti
Kasau kecil puteri menyembah
Kasau lentik helang berbega

(d)    Responsi

Buktinya,
Istana siap dengan alatnya,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.


D NILAI MURNI

(a) Kesetiaan
(b) Bertanggungjawab
(c) Amanah
(d) Kegigihan
(e) Ketaatan

E PENGAJARAN


(     (a)Kita mestilah setia kepada raja dan menjalankan titah perintah raja dengan sempurna.
(b)   Kita mestilah bertanggungjawab dalam semua tugasan yang kita jalankan.
(c)   Kita mestilah memegang amanah yang diberikan kepada kita oleh raja.






MENU ANALISIS AANTOLOGI SEJADAH RINDU T5



MENU ANALISIS 
ANTOLOGI SEJADAH RINDU T5




GURINDAM - BEBERPA PETUA HIDUP - ANTOLOGI SEJADAH RINDU T5

GURINDAM – BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

1 GURINDAM – BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

FIKIR DAN KATA
Kurang fikir kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.
Penulis mengingatkan bahawa manusia yang kurang berfikir dan kurang mengkaji pasti tidak akan dapat mengatasi masalah yang dihadapinya.
Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak segala sengketa.
Penulis berkata bahawa manusia mestilah berfikir sebelum berkata-berkata supaya dapat mengelakkan sebarang perselisihan faham waima persengketaan sesama manusia.
Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.
Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika diujar akan menyakitkan hati an melukakan perasaan orang lain.
Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.
Penulis berkata bahawa manusia seseorang yang kasar dalam pertuturan boleh menyebabkan dirinya ditimpa pelbagai masalah.
SILANG DAN SENGKETA
Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.
Penulis berkata bahawa manusia yang suka bergaduh dan berselisih faham akan hidup dalam kesedihan.
Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.
Penulis menasihati kita agar tidak sengaja mencari pergaduhan dengan orang lain dan setiap perselisihan faham harus diselesaikan, bukannya dielakkan.
ILMU
Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.
Penulis berkata bahawa ilmu mesti dikuasai dengan sempurna kerana ilmu yang tidak kuasai dengan baik tidak dapat memanfaatkan kita.
Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.
Penulis berkata bahawa ilmu pengetahuan dalam diri seseorang harus ditimba dengan kesungguhan dan kerajinan asalkan kita memiliki kemahuan yang tinggi.
DUNIA PERGAULAN
Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan
Penulis berkata bahawa kehidupan di dunia ini menjadi lebih lengkap jika kita bijak memilih rakan sebaya.
Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.
Penulis berkata bahawa seseorang manusia dapat dikenali melalui budi bahasanya dan melalui pergaulannya.
Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu
Penulis berkata bahawa sekumpulan kawan yang baik biasanya akan bersama-sama dalam pelbagai aktiviti kehidupan dan sentiasa bersama di mana-mana sahaja.
SIFAT-SIFAT YANG BAIK
Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bunga di taman
Penulis berkata bahawa seseorang yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi dan dihormati oleh ahli masyarakat.
Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.
Penulis berkata bahawa seseorang yang murah hati dan suka menderma akan mendapat perhatian daripada masyarakat.
Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.
Penulis berkata bahawa seseorang yang bersifat pemurah akan mudah mendapat kawan dan menjadi tempat untuk meminta bantuan.
PERBUATAN YANG BAIK
Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.
Penulis berkata bahawa seseorang yang banyak berjasa dalam masyarakat akan sentiasa dikenang orang pada bila-bila masa.
Menolong sesama wajib dan perlu,
tetapi tolonglah dirimu dahulu.
Penulis berkata bahawa kita haruslah membantu diri sendiri sebelum menghulurkan bantuan kepada orang lain.
SIFT-SIFAT YANG JAHAT
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.
Penulis berkata bahawa kita mestilah berhati-hati terhadap manusia yang nampak baik tetapi berhati busuk.
Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.
Penulis berkata bahawa seseorang yang mengkhianati orang lain akan mendapat balasan Tuhan pada kemudian hari.


B    TEMA DAN PERSOALAN
Tema gurindam ini ialah pelbagai amalan dan nilai murni yang dapat kita teladani dalam kehidupan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap manusia memiliki sifat yang berbeza. Oleh sebab itu, kita haruslah berhati-hati dalam pergaulan dan menjauhi sifat yang negatif.

Persoalan
(a)   Kepentingan berfikiran matang dan rasional.
(b)   Pergaduhan yang tidak memanfaatkan sesiapa.
(c)   Penjagaan tutur kata demi maruah diri.
(d)   Kesedihan daripada pertelingkahan.
(e)   Kepentingan menimba ilmu.
(f)   Kegigihan mencari ilmu demi masa depan.
(g)   Kepentingan rakan sebaya dalam kehidupan.
(h)   Sifat budi bahasa penting dalam kehidupan.
(i)   Sifat pemurah yang disukai masyarakat.
(j)   Kemuliaan seseorang daripada jasa yang ditaburkan.
(k)   Kepentingan bekerjasama dalam kalangan ahli masyarakat.
(l)   Kejahatan manusia yang tersembunyi.
(m) Pengkhianatan dalam kalangan manusia.

C GAYA BAHASA

(a) Repitisi
Buktinya,
Kurang fikir, kurang siasat
Selalu berkumpul ke hulu ke hilir

(b) Imej alam atau imejan
Buktinya,
dipandang sebagai bunga di taman.

(c) Pengulangan kata
Buktinya,
Silang selisih jangan dicari
Jika tersua janganlah lari
Jikalau ilmu tiada sempurna
Jikalau kamu bersifat budiman,
Jikalau kamu bersifat dermawan
Jikalau kamu bersifat pemurah

(d) Sinkope
Buktinya,
Tentu dirimu kelak tersesat

 (e) Simile
Buktinya,
Ibarat beringin, racun dan upas
          dipandang sebagai bunga di taman.
Tetapi tolonglah dirimu dahulu

(f) Peribahasa
Buktinya,
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,

D    NILAI MURNI
(a)   Rasional
(b)   Keikhlasan
(c)   Setia kawan
(d)   Kegigihan
(e)   Kesungguhan
(f)   Kerajinan
(g)   Baik hati
(h)   Murah hati
(i)   Hemah tinggi
(j)   Berwaspada
(k)   Keadilan

E      PENGAJARAN

(a)   Kita mestilah berfikiran rasional sebelum bercakap dengan orang lain  demi menjaga maruah diri.
(b)   Kita mestilah ikhlas dalam persahabatan dengan tidak bersengketa dengan sesiapa.
(c)   Kita mestilah setia dalam pergaulan dengan kawan-kawan supaya kehadiran kita disukai.
(d)   Kita mestilah gigih menimba ilmu demi menjamin masa depan yang lebih cerah.
(e)   Kita mestilah bersungguh-sungguh dalam usaha mencari ilmu supaya setiap masalah yang kita hadapi dapat diselesaikan.
(f)   Kita mestilah rajin berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dalam diri supaya dapat menjadi manusia yang bijak pandai.
(g)   Kita mestilah berbuat baik sesama manusia agar dipandang tinggi dalam masyarakat.
(h)   Kita mestilah bersifat murah hati dengan membantu sesiapa sahaja untuk meringankan beban mereka.
(i)   Kita mestilah bersifat hemah tinggi supaya disanjung tinggi dan dihormati oleh ahli masyarakat.
(j)   Kita mestilah berhati-hati dalam segala tingkah laku demi menjaga ketinggian budi dan akhlak.
(k)   Kita mestilah berbuat baik sesama manusia agar segala perbuatan baik kita akan dibalas baik kerana Tuhan mengadili kita berdasarkan perbuatan kita.

Penulisan Pendahuluan Rumusan SPM

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian  buat satu rumusan tentang   persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan dan...