Monday, December 24, 2018

GURINDAM - BEBERPA PETUA HIDUP - ANTOLOGI SEJADAH RINDU T5

GURINDAM – BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

1 GURINDAM – BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

FIKIR DAN KATA
Kurang fikir kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.
Penulis mengingatkan bahawa manusia yang kurang berfikir dan kurang mengkaji pasti tidak akan dapat mengatasi masalah yang dihadapinya.
Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak segala sengketa.
Penulis berkata bahawa manusia mestilah berfikir sebelum berkata-berkata supaya dapat mengelakkan sebarang perselisihan faham waima persengketaan sesama manusia.
Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.
Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika diujar akan menyakitkan hati an melukakan perasaan orang lain.
Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.
Penulis berkata bahawa manusia seseorang yang kasar dalam pertuturan boleh menyebabkan dirinya ditimpa pelbagai masalah.
SILANG DAN SENGKETA
Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.
Penulis berkata bahawa manusia yang suka bergaduh dan berselisih faham akan hidup dalam kesedihan.
Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.
Penulis menasihati kita agar tidak sengaja mencari pergaduhan dengan orang lain dan setiap perselisihan faham harus diselesaikan, bukannya dielakkan.
ILMU
Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.
Penulis berkata bahawa ilmu mesti dikuasai dengan sempurna kerana ilmu yang tidak kuasai dengan baik tidak dapat memanfaatkan kita.
Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.
Penulis berkata bahawa ilmu pengetahuan dalam diri seseorang harus ditimba dengan kesungguhan dan kerajinan asalkan kita memiliki kemahuan yang tinggi.
DUNIA PERGAULAN
Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan
Penulis berkata bahawa kehidupan di dunia ini menjadi lebih lengkap jika kita bijak memilih rakan sebaya.
Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.
Penulis berkata bahawa seseorang manusia dapat dikenali melalui budi bahasanya dan melalui pergaulannya.
Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu
Penulis berkata bahawa sekumpulan kawan yang baik biasanya akan bersama-sama dalam pelbagai aktiviti kehidupan dan sentiasa bersama di mana-mana sahaja.
SIFAT-SIFAT YANG BAIK
Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bunga di taman
Penulis berkata bahawa seseorang yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi dan dihormati oleh ahli masyarakat.
Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.
Penulis berkata bahawa seseorang yang murah hati dan suka menderma akan mendapat perhatian daripada masyarakat.
Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.
Penulis berkata bahawa seseorang yang bersifat pemurah akan mudah mendapat kawan dan menjadi tempat untuk meminta bantuan.
PERBUATAN YANG BAIK
Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.
Penulis berkata bahawa seseorang yang banyak berjasa dalam masyarakat akan sentiasa dikenang orang pada bila-bila masa.
Menolong sesama wajib dan perlu,
tetapi tolonglah dirimu dahulu.
Penulis berkata bahawa kita haruslah membantu diri sendiri sebelum menghulurkan bantuan kepada orang lain.
SIFT-SIFAT YANG JAHAT
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.
Penulis berkata bahawa kita mestilah berhati-hati terhadap manusia yang nampak baik tetapi berhati busuk.
Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.
Penulis berkata bahawa seseorang yang mengkhianati orang lain akan mendapat balasan Tuhan pada kemudian hari.


B    TEMA DAN PERSOALAN
Tema gurindam ini ialah pelbagai amalan dan nilai murni yang dapat kita teladani dalam kehidupan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap manusia memiliki sifat yang berbeza. Oleh sebab itu, kita haruslah berhati-hati dalam pergaulan dan menjauhi sifat yang negatif.

Persoalan
(a)   Kepentingan berfikiran matang dan rasional.
(b)   Pergaduhan yang tidak memanfaatkan sesiapa.
(c)   Penjagaan tutur kata demi maruah diri.
(d)   Kesedihan daripada pertelingkahan.
(e)   Kepentingan menimba ilmu.
(f)   Kegigihan mencari ilmu demi masa depan.
(g)   Kepentingan rakan sebaya dalam kehidupan.
(h)   Sifat budi bahasa penting dalam kehidupan.
(i)   Sifat pemurah yang disukai masyarakat.
(j)   Kemuliaan seseorang daripada jasa yang ditaburkan.
(k)   Kepentingan bekerjasama dalam kalangan ahli masyarakat.
(l)   Kejahatan manusia yang tersembunyi.
(m) Pengkhianatan dalam kalangan manusia.

C GAYA BAHASA

(a) Repitisi
Buktinya,
Kurang fikir, kurang siasat
Selalu berkumpul ke hulu ke hilir

(b) Imej alam atau imejan
Buktinya,
dipandang sebagai bunga di taman.

(c) Pengulangan kata
Buktinya,
Silang selisih jangan dicari
Jika tersua janganlah lari
Jikalau ilmu tiada sempurna
Jikalau kamu bersifat budiman,
Jikalau kamu bersifat dermawan
Jikalau kamu bersifat pemurah

(d) Sinkope
Buktinya,
Tentu dirimu kelak tersesat

 (e) Simile
Buktinya,
Ibarat beringin, racun dan upas
          dipandang sebagai bunga di taman.
Tetapi tolonglah dirimu dahulu

(f) Peribahasa
Buktinya,
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,

D    NILAI MURNI
(a)   Rasional
(b)   Keikhlasan
(c)   Setia kawan
(d)   Kegigihan
(e)   Kesungguhan
(f)   Kerajinan
(g)   Baik hati
(h)   Murah hati
(i)   Hemah tinggi
(j)   Berwaspada
(k)   Keadilan

E      PENGAJARAN

(a)   Kita mestilah berfikiran rasional sebelum bercakap dengan orang lain  demi menjaga maruah diri.
(b)   Kita mestilah ikhlas dalam persahabatan dengan tidak bersengketa dengan sesiapa.
(c)   Kita mestilah setia dalam pergaulan dengan kawan-kawan supaya kehadiran kita disukai.
(d)   Kita mestilah gigih menimba ilmu demi menjamin masa depan yang lebih cerah.
(e)   Kita mestilah bersungguh-sungguh dalam usaha mencari ilmu supaya setiap masalah yang kita hadapi dapat diselesaikan.
(f)   Kita mestilah rajin berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dalam diri supaya dapat menjadi manusia yang bijak pandai.
(g)   Kita mestilah berbuat baik sesama manusia agar dipandang tinggi dalam masyarakat.
(h)   Kita mestilah bersifat murah hati dengan membantu sesiapa sahaja untuk meringankan beban mereka.
(i)   Kita mestilah bersifat hemah tinggi supaya disanjung tinggi dan dihormati oleh ahli masyarakat.
(j)   Kita mestilah berhati-hati dalam segala tingkah laku demi menjaga ketinggian budi dan akhlak.
(k)   Kita mestilah berbuat baik sesama manusia agar segala perbuatan baik kita akan dibalas baik kerana Tuhan mengadili kita berdasarkan perbuatan kita.

No comments:

Post a Comment

Penulisan Pendahuluan Rumusan SPM

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian  buat satu rumusan tentang   persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan dan...