SINOPSIS
UMUM
NOVEL
SILIR DAKSINA
Novel Silir Daksina mengisahkan seorang remaja bernama Haiqal Hakimi
yang hidup bersama-sama dengan umi, bapa tirinya, dan adik tirinya, Nurul
Asiyah di Kuala Terengganu, Terengganu. Bapa Haiqal, iaitu Abdullah bin Kayan
berada di Kampung Seri Purnama, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Haiqal terpisah
dengan bapanya apabila uminya berpisah dengan bapanya kerana mereka tidak sehaluan.
Uminya yang merupakan seorang usahawan batik dan mempunyai kedai di Pasar
Payang tidak dapat menerima bapanya sebagai seorang pencinta seni sastera dan
budaya. Akibatnya, perkahwinan antara mereka hanya mampu bertahan selama tiga
tahun.
Sejak kecil Haiqal tidak pernah berjumpa dengan ayahnya. Ketika berusia
12 tahun, bapanya telah meninggal dunia sewaktu Haiqal menduduki Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Umi dan bapa tirinya pergi ke kampung arwah
ayahnya untuk menziarahi jenazah tetapi melarang Haiqal untuk turut sama atas
alasan dia sedang menduduki UPSR. Haiqal hanya mampu menangis kerana tidak
dapat melihat wajah ayahnya buat kali terakhir. Walaupun Haiqal berasa terkilan
namun dia amat menyayangi uminya dan tidak berani membantah kata-katanya. Pada
suatu hari, Haiqal menerima sebuah manuskrip yang dihantar oleh seorang gadis
berbangsa Cina melalui kiriman pos. Sejak itu, hati Haiqal meronta-ronta untuk
pergi ke Batu Pahat, iaitu tempat arwah bapanya tinggal. Manuskrip yang diterima
itu menceritakan pelbagai peristiwa berkaitan dengan kehidupan bapanya yang
melibatkan diri dalam aktiviti untuk memperkasa seni dan budaya zapin. Justeru,
Haiqal berasa teruja untuk menjejaki sejarah kehidupan bapanya itu bagi
mengubat kerinduan yang ditanggung olehnya sejak kecil.
Pada suatu malam, Haiqal telah memberitahu uminya bahawa dia ingin ke
kampung halaman bapanya. Umi Haiqal melarang Haiqal meneruskan rancangannya itu
dan memarahinya dengan alasan tiada apa-apa di kampung tersebut memandangkan
ayahnya sudah lama meninggal dunia. Haiqal yang telah nekad tetap berkeras
dengan keputusannya itu. Umi Haiqal mengugut Haiqal bahawa dia tidak akan
memberikan wang kepadanya sekiranya dia kekampung arwah ayahnya itu. Walid
memahami perasaan Haiqal dan merestukan pemergiannya. Walid akan menampung
perbelanjaan Haiqal sepanjang dia berack di Johor kelak.
Haiqal ke selatan tanpa diiringi oleh uminya. Di halaman rumah, walid
dan adik tirinya, Nurul Asiyah sahaja yang mengiringi Haiqal hingga ke muka
pintu. Haiqal dihantar oleh Ratna ke stesen bas. Haiqal sampai di stesen bas
Batu Pahat pada waktu subuh. Selesai menunaikan solat subuh di surau, Haiqal
menaiki sebuah teksi untuk ke Parit Raja, iaitu kampung halaman bapanya.
Di sebuah warung, Haiqal bertanya kepada pemilik warung tersebut tentang
rumah arwah ayahnya. Pemilik warung tersebut, iaitu Wak Sakimin menyuruhnya
menunggu Tauke Ong untuk membawa Haiqal ke rumah arwah ayahnya. Tidak lama
kemudian, Tauke Ong tiba di warung Wak Min. Tauke Ong menghantar Haiqal ke
rumah arwah ayahnya. Haiqal disuruh berehat dan dia akan membawa Haiqal makan
tengah hari di bandar. Di rumah arwah ayahnya, Haiqal melihat beberapa sijil
dan gambar yang ada. Haiqal mendapati arwah ayahnya, Abdullah bin Kayan adalah
lebih hebat daripada yang dia sangkakan.
Tepat jam 12:30 tengah hari, Tauke Ong dan anaknya, See Hwa datang untuk
membawa Haiqal makan tengah hari. Sewaktu di dalam kereta, Tauke Ong
memberitahu bahawa banyak kerja yang Haiqal perlu uruskan. Tauke Ong memegang
amanah untuk menguruskan ladang kelapa sawit dan kebuh getah milik arwah ayah
Haiqal dan dia akan menyerahkan semua urusan itu kepada Haiqal.
Setibanya di pekan Parit Raja, Tauke Ong memberitahu Haiqal bahawa dia
ada urusan di bank dan meminta anaknya, See Hwa membawa Haiqal makan di sebuah
restoran. Di restoran itu, See Hwa berbual-bual dengan Haiqal tentang tempat
tinggal masing-masing. Pada waktu itu, Haiqal teringatkan rakan karibnya,
Ratna. Sejak tiba di kampung pada pagi itu, dia masih belum menghantar SMS kepada
Ratna. Semasa makan, See Hwa memberitahu bahawa ayah Haiqal pandai memasak ciii
padi ikan haruan. Haiqal merasakan bahawa See Hwa beruntung kerana dapat
merasai kasih sayang arwah ayahnya dan dapat mengisi kekosongan jiwa arwah
ayahnya itu. Haiqal ingin mendekati See Hwa kerana dia yakin bahawa See Hwa
banyak menyimpan rahsia hidup ayahnya. Dia jugs membuat telahan bahawa watak Ai
Ling dalam manuskrip yang ditulis oleh arwah ayahnya itu ialah See Hwa.
See Hwa membawa Haiqal berjalan-jalan di sekitar pekan Parit Raja dan
mereka berhenti di sebuah kedai buku. See Hwa memilih-milih novel yang hendak
dibelinya manakala Haiqal membeli majalah yang berkaitan dengan bahasa dan
sastera. Ketika itu, mereka mendapati bahawa mereka meminati penulis yang sama.
Pertemuan itu telah menimbuikan kemesraan antara mereka berdua. Pada petang
itu, Haiqal tersedar daripada tidurnya. Haiqal membaca SMS yang dihantar oleh
Nurul Asiyah dan membaiasnya.
Haiqal menziarahi pusara ayahnya dengan menaiki motosikal yang
dipinjamkan oleh Tauke Ong. Haiqal membaca surah al-Fatihah dan berselawat ke
atas nabi, seterusnya membaca surah Yaasin. Semasa Haiqal menunggang motosikal,
hatinya tergerak untuk memberhentikan motosikalnya berhampiran dengan
sekumpulan remaja yang sedang memancing ikan. Haiqal berbual-bual dengan Pak
Cik Bakar. Pak Cik Bakar mempelawa Haiqal ke rumahnya untuk bercerita lebih
lanjut tentang arwah ayahnya. Selepas menunaikan solat maghrib dan isyak di
masjid, Haiqal ke warung Wak Min untuk mengisi perut. Haiqal, Pak Cik Bakar,
Wak Arif, dan Haji Salim berbual-bual mengenai tarian zapin.
Pada suatu hari, Haiqal telah dibawa ke balai raya Kampung Seri Purnama.
Di situ, Haiqal dapat melihat hasil kegiatan ayahnya. Beberapa album, majalah,
dan buku-buku milik arwah ayahnya juga dipamerkan di situ. Haiqal sedar bahawa
ayahnya benar-benar seorang penari zapin. Di warung, Haigal bertanya tentang
Aksara kepada See Hwa dan memberitahu bahawa perkara itu ada dalam manuskrip
ayahnya. See Hwa memberitahu bahawa Aksara merupakan satu-satunya perkara yang
tidak dapat dilaksanakan oleh arwah ayah Haiqal sebelum dia meninggal dunia.
See Hwa juga menjelaskan bahawa Aksara ialah singkatan kepada Akademi Sastera
Rakyat dan arwah ayah Haiqal bercita-cita untuk menjadikan kampung Seri Purnama
sebagai pusat pengembangan sastera di daerah itu. Arwah ayah Haiqal amat
mencintai bidang sastera rakyat dan menganggap bahawa tugas itu sebagai satu
tanggungjawab sosial yang mesti dilaksanakan untuk mendekatkan masyarakat
dengan sastera.
Haiqal telah mencadangkan kepada Pak Cik Bakar untuk mengadakan
persembahan tarian zapin. Cadangan Haiqal itu dikemukakan kepada ketua kampung.
Mesyuarat untuk membincangkan cadangan Haiqal telah diadakan di balai raya dan
cadangan Haiqal itu diterima sebulat suara oleh penduduk kampung. Pembahagian
tugas sempena majlis yang bakal diadakan itu turut dilakukan pada malam
tersebut. Tauke Ong menawarkan diri untuk menaja jamuan semasa majlis itu
berlangsung kelak. Oleh itu, persiapan sempena majlis tersebut dilakukan oleh
penduduk kampung. Haiqal juga turut serta dalam membuat persiapan itu. Tauke
Ong mencadangkan agar Haiqal turut mempelajari tarian zapin. Haiqal akur
apabila Pak Cik Bakar, Haji Selamat, Wak Parmin, Abang Ramlan, dan Wak Seman
bersungguh-sungguh mahu mengajarnya tarian zapin.
Seminggu sebelum acara persembahan itu, Haiqal telah memaklumkan kepada
walidnya tentang tarian zapin jincat itu. Dia meminta walid, umi, dan Nurul
Asiyah mendoakannya agar dapat mempersembahkan tarian itu dengan baik. Pada hari
majlis tersebut, mereka mendapat berita bahawa Lazim telah ditimpa kemalangan
jalan raya sewaktu pulang dari kerja. Haji Salim mengemukakan cadangan supaya
See Hwa menggantikan Lazim memandangkan Lazim tidak dapat menjadi pasangan
Haiqal untuk persembahan tarian tersebut. Haji Salim menyuruh Haiqal memujuk
See Hwa untuk menari zapin dengannya.
Selepas solat maghrib, Haiqal ke rumah Tauke Ong. Dia memberitahu Tauke
Ong tentang tujuannya untuk memujuk See Hwa supaya berpasangan dengannya pada
malam itu. Haiqal terkejut apabila mendapati See Hwa sedang menggosok baju
zapin. See Hwa berterus terang kepada Haiqal bahawa dia dan Lazim sudah
berpakat untuk membuat kejutan kepada Haiqal. Haiqal meminta See Hwa menari
bersamanya bagi menggantikan tempat Lazim.
Akhirnya, malam itu menjadi kenyataan apabila Haiqal dapat
mempersembahkan tarian zapinnya dengan baik. YB Datuk Syaiful Azizi terpesona
melihat kelembutan gerak tari See Hwa dan Haiqal. Ketika asyik menari, Haiqal
terpandang uminya, walid, dan Nurul Aisyah yang sedang berdiri di belakang
balai raya sambil melihatnya menari di atas pentas. Haiqal amat terharu dan
bersyukur apabila melihat mereka datang untuk melihatnya menari.
Haiqal membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya di sebuah
universiti di Bumi Kenyalang. Haiqal percaya bahawa dendam uminya terhadap
ayahnya juga telah lebur apabila uminya datang ke Kampung Seri Purnama untuk
melihat dia menari zapin. Umi Haiqal sedar bahawa darah merah yang mengalir
dalam setiap pelosok tubuh Haiqal merupakan darah Abdullah bin Kayan yang tidak
boleh dinafikan. Sahabat Haiqal, iaitu Ratna telah bertunang dengan seorang
usahawan. Ketika Haiqal meninggalkan Kampung Seri Purnama, See Hwa telah
menangis. Haiqal sedar bahawa dia perlu menjadi seperti ayahnya untuk
mewujudkan Aksara semula. Hasrat itu masih terlalu jauh daripada jangkauannya
kerana dia masih belum layak untuk memimpin Aksara. Haiqal merasakan bahawa
silir daksina benar-benar mendamaikannya.
No comments:
Post a Comment