SINOPSIS KESELURUHAN :
Suasana di koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Pertanian Seri Kayangan pada pagi itu sangat sibuk. Terdapat seorang pembantu kedai dan tiga orang ahli pengarah sedang melayani pembeli-pembeli dengan sabar dan baik. Seorang pelajar lelaki mencuba untuk mencuri sebatang pen telah ditegur oleh seorang ahli lemabga pengarah. Cikgu Zulkifli masuk ke koperasi itu dan memaklumkan kepada ahli lembaga pengarah bahawa pada petang itu akan diadakan mesyuarat agung untuk mengumumkan ahli-ahli jawatankuasa Lembaga Pengarah dan membincangkan usul-usul. Mesyuarat telah membuat keputusan bahawa Razali telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Lembaga Pengarah bagi koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Pertanian Seri Kayangan.
Munir berasa tidak puas hati kerana tidak dipilih sebagai Penolong Setiausaha. Dia merungut kepada kawannya Leong dan Silvam. Dia dan kawan-kawannya, Leong dan Silvam, mula berdendam dengan Razali. Kemarahan Munir bertambah apabila seorang pelajar baharu sekolah mereka rapat dengan Razali. Di samping itu, Razali dan ahli-ahli lembaga pengarah yang lain cuba menaiktarafkan koperasi dan melaksanakan usul-usul yang telah dipersetujui dalam mesyuarat yang lepas. Bilik bacaan akan diadakan atas dasar kebajikan dan untuk kebaikan murid-murid.
Sikap Munir yang sering tidak menyiapkan kerja sekolah, mengganggu pelajar perempuan, dan tidak melaksanakan tugasnya sebagai ahli lembaga pengarah, telah menyebabkan dia dipanggil guru kaunseling sekolah itu, iaitu Cikgu Muniam. Munir tidak mengakui kesalahannya. Setelah diberikan nasihat, Munir berjanji tidak akan berbuat demikian lagi. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut menyebabkan Munir menajdi lebih marah dan menuduh Razali yang mengadukan perkara itu kepada guru kaunseling. Jadi, dia mengambil keputusan untuk membalas dendam. Leong dan Silvam turut serta kerana Razali dianggap sebagai penghalang hasrat mereka untuk merapati Swee Lan dan Saridevi.
Petang itu, Razali dibelasah oleh Munir dan rakan-rakannya. Ramlah, Swee lan, dan Saridedevi yang terjumpa dengan Razali di tempat kejadian itu ingin melaporkan perkara itu kepada Cikgu Zulkifli tetapi dilarang oleh Razali. Razali tidak mahu perkara itu diketahui oleh ayah tirinya. Ketika sampai di rumahnya, ibunya terkejut melihat keadaan Razali. Razali menceritakan perlakuan Munir terhadapnya. Ayah tiri Razali ternampak akan keadaan Razali lantas menyalahkan Razali sebagai anak yang sombong sehingga dipukul oleh orang lain. Mak Sopiah mempertahankan anaknya. Tindakannya menyebabkan Razali terasa dan ingin bersama dengan ayah kandungnya. Dia bertanya tentang ayah kandungnya kepada Mak Sopiah tetapi ibunya enggan menceritakannya kerana perkara tersebut merupakan sejarah hitam buat Mak Sopiah. Keesokan harinya, Munir, Leong, dan Silvam dihukum rotan kerana membelasah Razali.
Razali telah menerima tawaran untuk mengikuti kursus koperasi bersama wakil koperasi-koperasi sekolah di Malaysia di Kuala Lumpur. Kursus tersebut telah membuka mata Razali tentang koperasi-koperasi yang terdapat di Malaysia. Selepas dia pulang dari kursus itu, mereka mengadakan mesyuarat tentang pertandingan koperasi anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA). Mereka bersetuju untuk menyertai pertandingan itu.
Ahli-ahli Lembaga Pengarah bekerjasama mencantikkan koperasi. Munir tidak mahu memberikan kerjasama dan memilih untuk bermain bola. Walau bagaimanapun, dia dipanggil oleh Cikgu Zulkifli untuk melakukan tugas. Ketika Munir berada di meja setiausaha, dia ternampak kunci koperasi itu lalu diambilnya. Setelah itu, Munir dan rakan-rakannya merancang sesuatu bagi membalas dendam terhadap Razali. Suatu malam, koperasi telah diceroboh masuk. Kesesokan harinya, apabila koperasi dibuka, Razali mendapati kedai semua barang jualan bertaburan di lantai dan wang sebanyak RM200 telah dicuri. Dia melaporkan kepada Cikgu Zulkifli. Pihak polis telah menyiasat tetapi tiada kesan pecah masuk. Kunci koperasi masih berada dalam pegangan Razali dan Pengetua. Hal itu membuatkan Munir, Leong, dan Silvam menuduh Razali yang memecah masuk koperasi kerana dia mempunyai kunci. Munir mengadukan hal ini kepada Pak Zakaria. Pak Zakaria berasa amat marah lalu menghalau Razali daripada rumah tetapi dihalang oleh Mak Sopiah.
Cikgu Zulkifli bergegas ke kedai koperasi kerana diberitahu oleh Swee Lan dan Marzuki bahawa Koperasi dicerobohi lagi. Cikgu Syamsudin sangat marah atas kejadian itu dan mengambil keputusan untuk memeriksa beg dan pakaian murid satu demi satu. Akhirnya, pihak sekolah telah dapat menangkap pencurinya, iaitu Munir. Dari beg sekolah Munir, Cikgu Hassan telah memperoleh kunci yang sama nombornya dengan kunci koperasi dan duit kertas RM10 yang bertanda ‘K’. Sebagai hukuman, Munir telah dipecat daripada ahli Lembaga Pengarah dan digantung sekolah selama seminggu. Munir mula sedar akan kesalahannya dan meminta maaf kepada Razali dan keluarganya.
Keputusan pertandingan Koperasi telah diumumkan. Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Pertanian Seri Kayangan telah mendapat Johan. Pihak sekolah dan ibu bapa yang dijemput hadir pada pagi itu sangat berbangga dengan kejayaan mereka itu. Antara ibu bapa yang hadir ialah Mak Sopiah dan Pak Zakaria. Kemudian, mereka terjumpa dengan Pak Ramli, iaitu bapa kepada Ramlah. Mereka bersalaman. Cikgu Syamsudin berasa ada suatu rahsia dalam pertemuan itu. Beliau menjemput mreka ke bilik pejabatnya. Pak Ramli menceritakan hubungan mereka bertiga. Rupa-rupanya, Pak Ramli ialah bekas suami Mak Sopiah dan ayah kandung kepada Razali. Cikgu Zulkifli amat terkejut lalu mencadangkan untuk memanggil Razali dan Ramlah. Mereka tidak menyangkakan kejayaan koperasi ini telah menemukan seorang anak dengan ayah dan adiknya.
.
No comments:
Post a Comment